Make your own free website on Tripod.com
Tun Abdul Razak

        Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, beliau menggantikan Tunku Abdul Rahman memimpin negara dari tahun 1970 hingga 1976. Dilahirkan di Pulau Keladi, Pahang pada 11 Mac 1922, Tun Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1934 dan merupakan seorang pelajar yang cemerlang.

        Selepas berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Melayu di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1939, beliau dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Pembelajarannya di kolej tersebut tergendala disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Melalui biasiswa Malayan Union, Tun Razak melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang pada tahun 1947 di Britain. Pada tahun 1950, beliau menerima Degree of an Utter Barrister daripada Lincoln's Inn. Semasa di England, Tun Razak merupakan ahli Parti Buruh British dan seorang pemimpin pelajar Kesatuan Melayu Great Britain yang terkenal. Beliau juga menubuhkan Malayan Forum, satu organisasi untuk pelajar-pelajar Malaya membincangkan mengenai isu politik negara mereka.

        Sekembalinya ke tanahair, Tun Razak menyertai Perkhidmatan Awam Malaya. Tun Razak merupakan seorang yang berkaliber dalam politik, ini terbukti kerana pada tahun 1950 beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dua tahun kemudian, beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Pahang dan pada Februari 1955, pada usia 33 tahun, beliau menjadi Menteri Besar Pahang. Beliau bertanding dan menang dalam pilihanraya umum negara yang pertama pada Julai 1955 dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Tun Razak juga merupakan ahli rombongan ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada British pada Februari 1956.

        Selepas pilihanraya umum 1959, beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar disamping memikul tugas-tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai 'Buku Merah'. Pada September 1970, Tun Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Perdana Menteri Malaysia.

        Tun Razak juga dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Beliau dan "generasi kedua" ahli politik Melayu melihat akan perlunya untuk menyelesaikan perbezaan ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh mangsa perkauman. DEB meletakkan dua matlamat asas - untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula kegiatan ekonomi.

        Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik. Tun Abdul Razak dikenali sebagai Bapa Pembangunan bagi menghargai segala sumbangannya di dalam pembangunan kebangsaan dan luar bandar.




Anugerah Yang Dikurniakan Kepada Tun Abdul Razak



Tahun
Nama Anugerah
Daripada
1977 D.U.P.N
Darjah Utama Pangkuan Negeri
    Pulau Pinang
1977 D.M.N
Darjah Utama Seri Mahkota Negara
    Malaysia
1974 S.P.C.M
Darjah Kebesaran Seri Paduka Cura Si Manja Kini
    Perak
1973 D.P
Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak
    Sarawak
1973 S.I.M.P
Darjah Kebesaran Seri Indera Mahkota Pahang
    Pahang
1973 K.O.M
Darjah Utama Negeri Kedah
    Kedah
1971 S.P.D.K
Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu
    Sabah
1970 D.K
Darjah Keramat Yang Amat Dihormati
    Kelantan
1965 S.P.M.P
Darjah Yang Mulia Seri Paduka Mahkota Perlis Yang Pertama
    Perlis
1965 S.P.M.S
Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor
    Selangor
1964 S.P.M.T
Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Terengganu
    Terengganu
1961 S.P.M.J
Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Johor
    Johor
1961 S.P.M.K
Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Kelantan
    Kelantan
1960 D.P.M.B
Darjah Paduka Mahkota Brunei
    Brunei
1959 S.M.N
Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara
    Malaysia
1958 D.K
Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Pangkat Yang Kedua Brunei
    Brunei
1950 O.K.I.S
Orang Kaya Indera Syahbandar
    Pahang






Muka Utama