Make your own free website on Tripod.com
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

        Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan sebagai mengenangkan segala jasa dan pengorbanan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Beliau menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970. Tunku dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan putera ke tujuh Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan Kedah yang ke dua puluh empat, dan Che Manjalara. Dikatakan sebagai seorang kanak-kanak yang lincah dan ceria dengan minatnya terhadap sukan. Tunku menerima pendidikan awalnya di Sekolah Debsurin, Bangkok dan Penang Free School, Pulau Pinang.

        Melalui biasiswa Kerajaan Negeri Kedah, beliau melanjutkan pelajaran di St. Catherine's College, Cambridge University, di mana beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Sejarah pada 1925. Pertama kali menghadapi diskriminasi kaum yang dilakukan oleh pentadbiran kolej, dikatakan mendalamkan lagi keyakinannya untuk memperjuangkan persamaan hak dan menyalakan hasratnya untuk menjadikan tanahairnya sebuah negara yang merdeka, bebas dari genggaman penjajah British.

        Keupayaannya memimpin juga mula terserlah semasa di England. Menyedari bahawa pelajar Melayu di sana tidak diwakili oleh mana-mana organisasi, beliau bersama-sama pelajar-pelajar tersebut menggembleng tenaga menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of Great Britain) dan menjadi Setiausaha Kesatuan yang pertama. Selepas kembali ke tanahair, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Kedah sebagai kadet di Pejabat Penasihat Undang-undang, Alor Setar, dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di beberapa daerah di negeri Kedah. Beliau kurang disenangi oleh sesetengah pegawai British disebabkan sifatnya yang selalu lantang bersuara mengkritik dan berusaha membawa perubahan untukmemperbaiki taraf hidup rakyat.

        Niatnya untuk menyudahkan pelajaran undang-undang di Inner Temple, England pada 1938 tidak kesampaian apabila tercetusnya Perang Dunia ke dua. Beliau meneruskan pembelajarannya lapan tahun kemudian dan kembali dengan kelayakan undang-undang pada tahun 1949. Kesedaran politik yang diperolehi hasil dari berkawan dengan pelbagai golongan dari seluruh dunia di England tidak dibazirkan begitu saja, di mana beliau dijadikan Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Kedah selepas sahaja beliau kembali ke tanahair. Pada 26 Ogos 1951, Tunku menjadi Presiden UMNO menggantikan Dato' Onn Jaafar. Beliau menjelajah ke seluruh negara bertemu segenap lapisan masyarakat dan menyeru ke arah penyatuan. Usaha beliau dalam menyelesaikan masalah politik negara dengan mendapatkan kerjasama antara kumpulan-kumpulan etnik, menampakkan hasil dengan lahirnya Parti Perikatan pada 1955.

        Di bawah pimpinannya, Perikatan memenangi Pilihanraya Umum pertama pada Julai 1955. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri Negara dan Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1956, beliau mengetuai misi ke London untuk membincangkan dengan pihak Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Hasil dari mesyuarat tersebut, Perjanjian Merdeka (Independent Treaty) ditandatangani di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 dan seterusnya Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, dan terus mengetuai Perikatan ke arah kegemilangan pada Pilihanraya Umum 1959, 1964 dan 1969.

        Pada May 1961, Tunku menyarankan gagasan Malaysia - merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (kemudian dikenali sebagai Sabah) dan Brunei. Kesemuanya kecuali Brunei menyertai gagasan tersebut pada 9 Julai 1963. Walaubagaimanapun, Singapura menarik diri dari Malaysia pada 1965. Pada 22 September 1970 Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak. Tunku, yang dikurniakan tujuh orang cahayamata melalui perkahwinannya dengan Allahyarham Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, meninggal dunia pada 1990.



Muka Utama